THANK YOU FOR YOUR VISIT AND SUPPORT. WELCOME TO madamfizi.com PORTAL
Nature

"Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat" (Imam Syafi'e) "


Kisah kesungguhan Imam Syafie dalam menuntut Ilmu dan menunjukkan tauladan yang tinggi beradab dengan guru. 


Latarbelakang Imam Syafie 

 

Imam Syafie merupakan ilmuwan agung empat mazhab yang sangat terkenal selain daripada Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal. Nama sebenar beliau adalah Abū ʿAbdullāh Muhammad ibn Idrīs al-Shafiʿī. Beliau terkenal dengan gelaran Imam Syafie (ejaan lain yang digunakan Shafie, Shafi’i). Imam al-Syafie  berketurunan daripada Arab Quraisy yang bersambung nasab keturunannya dengan keturunan Rasulullah s.a.w. pada ‘Abdul Manaf. Manakala keturunan dari sebelah ibunya pula adalah berasal dari perempuan Yaman suku Azd.

 

Imam Syafie dilahirkan di Palestin pada tahun 150 Hijrah bersamaan tahun  757 Masihi. Pada tahun yang sama juga adalah kewafatan Imam Abu Hanifah. Terdapat riwayat menyatakan “Pergi seorang imam, datang pula imam yang lain pada malam pemergiannya itu.” Ini merujuk kepada kelahiran Imam Syafie. Imam al-Syafie adalah seorang anak yatim dan miskin kerana bapanya meninggal ketika beliau masih kecil. Oleh itu beliau tinggal dan dibesarkan oleh ibunya yang sudah hampir tua. 

 

Kesungguhan Imam al-Syafie Dalam Menuntut Ilmu

 

Ibu Imam al-Syafie sangat mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap keperluan  anaknya dalam menuntut ilmu. Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk berpindah ke Mekah’ bagi membolehkan Imam Syafie  menuntut ilmu di sana. Ini kerana suasana pembelajaran dan halaqah ilmu di Mekah dapat memberi peluang kepadanya untuk menuntut ilmu walaupun mereka berada dalam situasi yang miskin.

 

Sejak kecil Imam Syafie telah menunjukkan kesungguhan dan minatnya yang tinggi dalam menuntut ilmu pengetahuan. Beliau mempunyai kecerdikan, kepintaran dan kecerdasan yang begitu tinggi. Beliau telah menghafal al-Quran ketika berusia tujuh tahun dan menghafal kitab Muwatta’ karya Imam Malik dalam masa sembilan hari. 

 

Ketika di Mekah, beliau mengambil kesempatan dari majlis-majlis halaqah di Masjidil haram untuk mendalami ilmu pengetahuan. Walaupun dalam keluarga yang miskin, namun kesungguhan beliau ini terlihat apabila beliau menggunakan segala bahan-bahan seperti tembikar, kulit-kulit dan tulang ternakan bagi mencatatkan segala pembelajaran beliau. Adakalanya juga Imam Syafie memungut kertas terpakai yang telah dibuang dari pejabat kerajaan untuk dibuat catitan untuk digunakan dalam pengajiannya.

 

Suatu hari, Imam Syafie telah meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu di Madinah. Ini kerana beliau pernah mendengar ada seorang guru yang hebat bernama Imam Malik yang mengajar hadis di sana. Ketika tiba di Madinah, Imam Syafie terus menuju ke Masjid Nabawi dalam majlis ilmu yang disampaikan oleh Imam Malik. Pada ketika itu Imam Malik sedang mengajar murid-muridnya yang lain mengenai hadis-hadis Rasulullah s.a.w. 

 

Imam Syafie masuk dengan langkah yang begitu tertib dan duduk bersama murid-murid beliau bagi mendengar apa yang disampaikan oleh Imam Malik. Ketika murid-murid yang lain mempunyai pena dan kertas untuk mencatatkan apa yang disampaikan oleh Imam Malik, Imam Syafie hanya mampu menggunakan sebatang lidi yang dibasahi dengan air liur untuk dicatatkan di tangan beliau. Imam Syafie mencatatkan segala yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa disedarinya, Imam Malik memerhati segala tingkah laku Imam Syafie.

 

Selesai pengajian tersebut, Imam Malik memanggil Imam Syafie dan menegur beliau kerana disangkanya Imam Syafie berkelakuan tidak sopan dalam majlis ilmu. “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. Imam Syafie menjawab, “Maaf tuan, saya sebenarnya tidak bermain-main dalam majlis ini. Oleh kerana saya tidak ada pena dan kertas, maka saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.

 

Imam Malik pun membelek-belek tangan Imam Syafie dan beliau tidak menjumpai sebarang tulisan tersebut. Imam Malik bertanya, “Tetapi kenapa tapak tangan kamu ni kosong dan tidak ada tulisan?” Kata Imam Syafie, “Benar tuan tangan ini kosong daripada tulisan. Akan tetapi, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan tadi”.

 

Imam Malik memintanya membaca semula apa yang telah dihafalnya. Ternyata Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Kejadian tersebut menyebabkan Imam Malik begitu tertarik hati dengan  kebijaksanaannya dan kesungguhan Imam Syafie dalam menuntut Ilmu. 

 

Begitulah kesungguhan dan kepintaran Imam Syafie dalam menuntut ilmu. Walaupun beliau dari kalangan keluarga yang miskin, namun kesungguhannya dalam menuntut ilmu boleh dijadikan tauladan buat kita.

 

Ketinggian Akhlak dan Adab Imam Syafie Dalam Menghormati Guru

 

Ketika Imam Syafie sudahpun dewasa dan bergelar ulama yang hebat pada ketika itu, beliau tetap mempunyai akhlak dan adab yang terpuji terutamanya dalam menghormati guru-guru yang pernah mengajar beliau. Pernah diceritakan tentang akhlak Imam Syafie yang menghormati serta menghargai seseorang yang pernah mengajarnya walaupun ilmu yang diajar itu sedikit sedikit. 

 

Suatu hari ketika beliau sedang mengajar muridnya, datang seorang Badwi yang comot dan busuk sekali. Lantas  beliau menghentikan kuliahnya untuk mendekati Badwi itu dan memeluknya dengan erat. Keadaan tersebut menyebabkan muridnya terpinga-pinga. Selepas daripada kuliah, muridnya pun bertanya mengapa beliau memeluk seorang Badwi tersebut sedangkan dia agak comot dan busuk.

 

Imam Syafie memberitahu bahawa Badwi tersebut merupakan orang yang pernah mengajarnya. Sebab itulah beliau memeluk Badwi tersebut sebagai tanda menghormati seorang guru. Murid-murid Imam Syafie terpegun dengan akhlak dan adab yang ditunjukkan oleh Imam Syafie walaupun Badwi tersebut comot dan busuk. 

 

Imam Syafie juga berkata: “Suatu hari, ketika aku menulis kitab fekah, aku menghadapi masalah untuk mengenali dan membezakan antara anjing yang cukup umur dengan yang belum cukup umur.” Lalu Imam Syafie berfikir sudah pastilah Badwi itu tahu kerana kebiasannya seorang Badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka. Imam Syafie pun bertanya kepada Badwi yang di peluk tadi. Badwi tersebut menjelaskan tentang cara membezakan antara anjing yang cukup umur dengan yang belum cukup umur.

 

Anjing yang cukup umur akan mengangkat sebelah kaki belakang apabila membuang air kecil, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya apabila membuang air kecil. Melalui penjelasan yang disampaikan oleh Badwi tersebut, dapatlah Imam Syafie  menyiapkan kitabnya.

 

Begitulah ketinggian adab yang ditunjukkan oleh Imam Syafie terhadap seorang guru. Walaupun hanya sedikit ilmu yang diperolehinya daripada Badwi tersebut, namun beliau memberi penghormatan yang begitu tinggi sekali terhadpa orang yang pernah mengajarnya.

 

Pengajaran Daripada Kisah Imam Syafie

 

Melalui dua kisah yang disebut di atas, beberapa pengajaran dapat kita ambil dan manfaatkan. Pertamanya ialah dalam menuntut ilmu memerlukan kesungguhan yang tinggi. Walaupun Imam Syafie daripada keluarga yang miskin, kesungguhan dan iltizam yang ditunjukkan beliau amat tinggi sekali. Keduanya, setelah bergelar seorang guru dan dihormati dalam masyarakat, Imam Syafie tetap merendah diri dan menghormat guru yang pernah diajarnya walaupun ilmu tersebut sedikit.

 

Begitulah contoh keberkatan dalam menuntut ilmu yang boleh kita ambil daripada kisah Imam Syafie ini. Kesungguhan dalam menuntut ilmu dan juga adab terhadap para guru akan menyebabkan ilmu yang diperolehi itu berkat. Sebelum mengakhiri pembacaan ini, apa kata kita hayati kata-kata Imam Syafie yang terkenal:

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham tentang ilmu”

 

CREDIT TO https://theinspirasi.my/

Previous Post Next Post